SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBAK JAWA
45800 JERAM KUALA SELANGOR, SELANGOR DARUL EHSAN
1. PENGENALAN SEKOLAH.
‘ Nama : Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa
‘ Alamat : KM 26
: 45800 Jeram
Selangor Darul Ehsan
‘ Keluasan : 4.9 ekar
‘ Jenis : Bantuan Penuh Kerajaan
‘ Kod : BBA 3005
‘ Gred : Gred A
‘ Lokasi : Luar Bandar
‘ Telefon/Fax : 03-32508446
2. SEJARAH PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH 1909 HINGGA KINI
Tarikh | Peristiwa |
1909 | Sekolah ini pada mulanya berasal dari Sekolah Kebangsaan Bukit Panjang, Jeram yang menampung seramai 26 orang murid. Pada tahun 1909, sekolah ini dipindahkan ke Kampung Tambak Jawa dengan nama Sekolah Melayu Tambak Jawa.Sementara menunggu bangunan sekolah dibina, murid-murid yang seramai 38 orang menumpang belajar di sebuah kedai. |
1911 | Sebuah bangunan baru dibina bagi menempatkan murid-murid seramai 26 orang. |
1949 | Bilangan murid yang meningkat menyebabkan sebuah bangunan gotong-royong dibina oleh ibu bapa. |
1956 | 3 blok bangunan yang ada tidak dapat lagi menampung pertambahan murid. Sesi pagi dan petang diwujudkan tetapi masih tidak mencukupi sehingga terpaksa menumpang pula di Balai Raya. |
1974 | Sebuah blok bangunan baru 2 tingkat dibina dan mula digunakan pada 16.5.1975 sempena menyambut Hari Guru. Warga sekolah terdiri daripada 9 orang guru, 152 orang murid dan 6 orang kakitangan sokongan bukan guru. |
1986 | Sebuah lagi blok bangunan tambahan daripada kayu 3 buah bilik darjah dibina secara bergotong-royong bagi menempatkan bilik pemulihan, pusat sumber sekolah dan surau sekolah. |
1999 | Pertambahan murid menyebabkan sebuah blok bangunan dua tingkat didirikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menempatkan 4 buah bilik darjah, sebuah makmal Sains, Perpustakaan dan bilik APD. |
2002 | Sebuah kelas Pendidikan Prasekolah yang dirancang pelaksanaannya pada tahun 2003 mula dibuat pengubahsuaian daripada sebuah bilik darjah sedia ada di blok bangunan sekolah yang terbaru. Keadaan ini menyebabkan bilik APD terpaksa digunakan sebagai bilik darjah. Blok bangunan gotong-royong juga terpaksa dibuka sebagai bilik darjah dan bengkel Kemahiran Hidup walaupun keadaannya sudah uzur. Surau masih dikekalkan di bangunan gotong-royong ini. Sebuah makmal komputer yang telah dimulakan pembinaannya pada awal tahun 2001 telah siap pembinaannya pada tahun 2002. Bilik komputer ini menempatkan 20 unit komputer beserta server. |
2003 | Kelas Pendidikan Prasekolah memulakan sesinya yang pertama pada Januari 2003 dengan murid seramai 25 orang. Kelas prasekolah terbuka kepada golongan yang kurang berkemampuan. Pada Oktober 2003, bangunan gotong-royong dicadang dan disokong pelupusan oleh JKR kerana keuzurannya dengan cadangan pembinaan sebuah blok bangunan baru 3 tingkat yang menempatkan pejabat sekolah, bilik darjah, perpustakaan, bengkel Kemahiran Hidup dan bilik mesyuarat. Dalam bidang akademik pula, sekolah buat pertama kalinya mencatat sejarah pencapaian 86% lulus keseluruhan dalam Peperiksaan UPSR sekaligus merupakan pencapaian terbaik bagi daerah Kuala Selangor. Pada tahun ini 2003/2004 sekolah terlibat di dalam program sekolah angkat kepada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS Bhd.) PUAS Bhd. telah menaiktaraf Pusat Sumber sekolah bernilai RM30,000.00 dan membiayai program kecemerlangan UPSR sebanyak RM5000.00 |
2004 | Bilangan murid semakin meningkat. Pada Januari 2004, enrolmen sekolah terdiri daripada 307 orang murid termasuk 4 orang murid India, 25 orang guru, seorang pembantu tadbir, seorang PAR, seorang PRA, 2 orang pekerja swasta pembersihan dan 3 orang pengawal keselamatan swasta yang bertugas 24 jam sehari secara bergilir. Bilangan kelas meningkat kepada 12 kelas. Bilik surau terpaksa digunakan sebagai bilik darjah. Sekolah juga telah membuat permohononan bangunan gantian di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9). Skim Baucer Tuisyen diperkenalkan dan seramai 24 orang murid terlibat di dalam projek ini. Dalam bidang akademik, sekolah mencatat keputusan 73% dalam UPSR dan seramai 5 orang murid berjaya mendapat 5A. 4 orang murid telah ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. PIBG pula mengambil langkah menambah dana dengan menganjurkan Majlis Makan Amal Jasamu Dikenang dengan jayanya pada 18.09.2004. |
2005 | Enrolmen murid meningkat kepada 331 orang. Skim Baucer Tuisyen diteruskan. KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) dilaksanakan bagi menggantikan bantuan One-off yang diperkenalkan pada tahun 2002. Program sekolah angkat memasuki fasa kedua apabila ketua polis daerah Kuala Selangor menjadi bapa angkat SK Tambak Jawa bagi tempoh 2005 – 2006. Di bawah program ini, pihak polis telah menganjurkan ceramah keselamatan jalanraya, masalah juvana, pameran dadah dan keselamatan jalanraya. Tender kantin bertukar tangan bagi tempoh 2006 hingga 2007. Dalam bidang akademik pula, sekolah menempa kejayaan 72% lulus keseluruhan dengan 2 orang mendapat 5A dan 10 orang mendapat 4A 1B. Kedua-dua orang murid cemerlang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh. Bagi memenuhi tuntutan sekolah Bestari, kerajaan telah melengkapi sistem ICT sekolah dengan memasang talian internet “School Net “secara percuma selama 5 tahun. |
2006 | Warga sekolah terdiri daripada 25 orang guru, 4 orang kakitangan sokongan bukan guru, 2 orang pekerja swasta pembersihan dan 3 orang pengawal keselamatan swasta. Jumlah murid meningkat kepada 340 orang. Sekolah masih menghadapi masalah kekurangan bilik darjah dan bilik-bilik khas yang lain seperti bengkel, surau, bilik ABM, bilik rawatan, bilik SPBT dan bilik tayang. Walaupun peruntukan pembinaan bangunan gantian 3 tingkat dan selenggaraan bangunan telah diluluskan pada awal tahun 2006 namun sehingga Disember 2006 belum ada tanda-tanda kerja pembinaan dimulakan. Walaupun begitu, sekolah mendapat projek mengecat dinding bangunan luar dan bumbung serta sebuah pondok jaga di bawah peruntukan PLB Kuala Selangor. Dalam bidang akademik, sekolah mencatat peningkatan dalam UPSR dengan lulus keseluruhan 82%. 2 orang murid mendapat 5A dan 7 orang 4A 1B. PPSMI memasuki fasa ke-4 dan tambahan peralatan ICT bagi fasa ini dibekalkan. |
2007 | Projek pembinaan bangunan gantian tiga tingkat di bawah RMK9 beserta selenggaraan yang melibatkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf masih di atas kertas lagi tetapi pegawai-pegawai daripada JKR telah membuat lawatan berulangkali ke sekolah berserta pelan yang telah diluluskan. Kerja-kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada tahun 2008. Bagi menampung kekurangan bilik darjah, bangunan PIBG telah dibaikpulih. Keseluruhan dinding diganti konkrit. Jalan tar juga telah dibina bagi memudahkan murid-murid yang datang ke sekolah menaiki basikal melalui jalan pintas di belakang sekolah. Aliran kenderaan keluar masuk ke sekolah juga menggunakan laluan tar satu hala yang siap dibina pada bulan Jun 2007. Pada tahun ini juga, Kelas J_Qaf yang melibatkan pengajaran Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain dimulakan di Tahun Satu. Tiga orang guru agama lulusan siswazah yang masih dalam latihan memulakan tugas bagi melaksanakan program ini. Kem Bestari Solat yang merupakan salah satu pengisian J_Qaf telah dijlalankan dalam 4 fasa pada hari Sabtu dan Ahad. Dalam bidang akademik, sekolah mencatat kelulusan UPSR yang agak menurun iaitu 67% berikutan kejatuhan di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Seramai 5 orang murid mendapat 5A. Program peningkatan Bahasa Inggeris lisan beserta modul dirancang dengan kerjasama 11 buah sekolah untuk dilaksanakan pada Januari 2008 bagi meningkatkan penguasaan murid di dalam Bahasa Inggeris. |
2008 | Sesi persekolahan pada tahun ini dimulakan pada hari Khamis 3.1.2008. Dari segi pembangunan fizikal, sekolah masih lagi menunggu pembinaan bangunan gantian yang ditukar spesifikasi kepada 4 tingkat bagi menampung kekurangan bilik darjah yang sempurna yang telah diluluskan di bawah RMK9 serta telah melalui semua peringkat termasuk proses pemilihan tender. Sekolah juga telah mendapat peruntukan naik taraf bagi kesemua tandas di blok A dan B yang melibatkan penggantian keseluruhan jubin lantai dan dinding serta mangkuk tandas dan sinki. Longkang di sekeliling bangunan Blok A dan kantin juga telah diganti. Sebuah pentas konkrit berjubin telah dibina di dalam bilik darjah tingkat bawah Blok A untuk digunakan dalam pelaksanaan majlis-majlis sekolah. Sebuah jalan pintas ke kawasan kampung yang dibina bersebelahan sekolah telah siap pada bulan November 2008. Sekolah tidak lagi digunakan sebagai jalan pintas oleh orang kampung untuk keluar ke jalan utama. Dari segi akademik, sekolah mencatat lulus keseluruhan 78% dalam UPSR. Seramai 7 orang murid mendapat 5A dan 2 orang mendapat 4A1B. PPSMI telah melalui satu pusingan lengkap di mana calon peperiksaan UPSR pada tahun ini, menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Peratus pencapaian Sains adalah 93.3%, Matematik 91.1% manakala Bahasa Inggeris 84.4%. Program pemulihan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Program KIA2M bagi Tahun 1 (di bawah guru B.Melayu, P.Seni, Muzik dan PJK kelas masing-masing), Intervensi 3M bagi Tahun 2 dan Tahun 3 (di bawah Guru Pemulihan), Program Protim bagi Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 (di bawah guru Bahasa Melayu kelas masing-masing). Kerajaan juga telah meluluskan bantuan pakaian seragam kepada murid-murid bagi aktiviti kokurikulum. |
3. GURU-GURU BESAR SK TAMBAK JAWA JERAM SELANGOR.
Bil | Nama Guru Besar | Tahun Perkhidmatan |
1. | En.Umar bin Tahar | 1909 – 1922 |
2. | En.Muhammad bin Mandin | 1922 – 1924 |
3. | En.Mohd Ali bin Jiwa | 1924 – 1927 |
4. | En.Mohd Saad bin Samsuddin | 1927 – 1938 |
5. | En.Johari bin Ab.Jalal | 1938 – 1944 |
6. | En.Abd Wahab bin Burok | 1944 – 1948 |
7. | En.Ahmad bin Chik Cha | 1948 – 1952 |
8. | En.Abd Malik bin Abdullah | 1952 – 1957 |
9. | En.Mokhtar bin Dahlan | 1957 – 1960 |
10. | En.Arshad bin Mulia | 1960 – 1961 |
11. | En.Tamsir bin Zaidon | 1960 – 1971 |
12. | En.Hassan bin Busu | 1971 – 1979 |
13. | En.Manaf bin Lapoh | 1980 – 1983 |
14. | En.Mohd Jenal bin Hasnal | 1983 – 1990 |
15. | En.Subbian bin Mohd Sharif | 1991 – 1992 |
16. | En.Safari bin Ehsan | 1992 – 1993 |
17. | En.Mohd Aladin bin Awang Ngah | 1993 – 1995 |
18. | En.Jamaludin bin Mohamad | 1995 – 2001 |
19. | En.Nor Azimi bin Maaruf | 2001 – 2002 |
20. | Pn.Lailatul Fagriyah bt Hj Hamdan | 2003 – Kini |